PETUGAS SPR memerhati jari pengundi yang dicelup untuk mengundi di Sekolah Rendah Agama Dengkil bagi DUN Dengkil pada PRNSelangor. FOTO Mohd Fadli Hamzah
PETUGAS SPR memerhati jari pengundi yang dicelup untuk mengundi di Sekolah Rendah Agama Dengkil bagi DUN Dengkil pada PRNSelangor. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Tiga daripada 570 calon yang bertanding merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Sabtu lalu memperoleh kemenangan yang terlalu tipis, iaitu majoriti bawah 100 undi.

Paling rendah ialah calon Perikatan Nasional (PN) di Dun Taman Medan, Selangor, Dr Afif Bahardin yang menang di kerusi berkenaan dengan majoriti tipis 30 undi.

Beliau yang memperoleh 22,316 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) dalam saingan sengit dua penjuru menentang Ahmad Akhir Pawan Chik yang mendapat 22,286 undi.

Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah undi bagi Dun Taman Medan ialah 44,946 undi membabitkan 72.54 peratus mengundi dengan 301 undi rosak.

Calon PN, Muhammad Hilman Idham berjaya mempertahankan Dun Gombak Setia, dengan majoriti tipis sebanyak 58 undi dalam saingan tiga penjuru.

Hilman yang juga penyandang kerusi itu mendapat 30,299 undi menewaskan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang memperoleh 30,241 undi manakala calon Bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali dengan 1,076 undi.

Sebanyak 70.35 peratus membabitkan 62,250 jumlah undi manakala 297 kertas undi ditolak di Dun Gombak Setia.

Calon BN yang bertanding di Dun Juasseh Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid pula memperoleh kemenangan tipis dengan majoriti 78 undi.

Isteri kepada bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd Isa Samad itu meraih sebanyak 4,549 undi, sementara lawannya calon PN, Datuk Eddin Syazlee Shith mendapat 4,471 undi.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata walaupun menang dengan majoriti tipis namun ia tidak akan memberi sebarang masalah kepada wakil rakyat yang sudah dipilih itu.

"Ini kerana sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), mereka yang menang sama ada dengan kemenangan bergaya atau tipis, beliau adalah wakil rakyat kepada seluruh penduduk kawasan itu.

"Tiada bezanya, mereka mesti amanah memberi perkhidmatan tanpa memilih bulu.

"Cuma masalah yang mungkin timbul jika menang tipis, parti lawan akan nampak peluang untuk memfailkan petisyen pilihan raya jika ada sebarang kesalahan semasa berkempen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 6:11 PM