ANGGOTA Imigresen melafazkan ikrar Jabatan Imigresen Malaysia semasa sambutan Hari Imigresen 2023, hari ini. FOTO Bernama
ANGGOTA Imigresen melafazkan ikrar Jabatan Imigresen Malaysia semasa sambutan Hari Imigresen 2023, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Pusat sehenti bagi proses verifikasi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 akan dibuka di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen (JIM) di sini bermula 15 Ogos bagi mempercepatkan proses berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata majikan dan pekerja yang berdaftar boleh hadir secara jumpa terus (walk-in) di pusat sehenti RTK 2.0 itu tanpa perlu menunggu panggilan janji temu untuk hadir membuat verifikasi.

"Pusat verifikasi ini untuk memudah cara urusan majikan yang mendaftar serta mempercepatkan urusan proses RTK 2.0. PLKS (pas lawatan kerja sementara) juga dapat dikeluarkan dengan segera kepada pekerja asing yang terbabit," katanya dalam sidang media selepas Sambutan Hari Imigresen 2023 di sini hari ini.

Pada 10 Januari lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan RTK 2.0 dan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing sebagai langkah memenuhi keperluan tenaga kerja asing.

Dari 27 Januari hingga 14 Julai lalu, Saifuddin Nasution berkata program RTK 2.0 menerima dan mendaftar 379,668 permohonan yang membabitkan 51,753 majikan dan 720,099 pekerja, dengan 203,677 daripada pekerja tersebut selesai membuat verifikasi.

Beliau berkata pusat verifikasi RTK 2.0 itu juga akan dibuka di lokasi terpilih di kawasan Lembah Klang yang akan diumumkan kelak.

Saifuddin Nasution turut mengumumkan Pejabat Pasport Cawangan Putrajaya akan dibuka di pusat beli-belah Shaftsbury Putrajaya Mall di Presint 1 bagi mengurangkan kesesakan terutamanya pada waktu puncak di Pejabat Pasport di Ibu Pejabat JIM di Presint 2.

Beliau berkata pejabat pasport itu dijangka dapat memberi kemudahan kepada komuniti sekitar kawasan Putrajaya seperti Serdang, Sungai Besi, Dengkil, Cyberjaya, Bangi dan Cheras.

"(Pejabat) ini dalam fasa akhir, dua atau tiga bulan lagi (akan dibuka)… sekarang dalam proses ubah suai," katanya.

Menurutnya JIM telah mengeluarkan sejumlah 1,613,751 pasport di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun lalu.

Katanya daripada jumlah itu, pejabat pasport di ibu pejabat JIM memproses permohonan dan mengeluarkan sebanyak 68,416 pasport dengan purata permohonan dan pengeluaran 400 pasport sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 6:42 PM