SAIFUDDIN Nasution (kanan)  ketika lawatan kerja Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0) di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Negeri Selangor, Kompleks PKNS, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar.
SAIFUDDIN Nasution (kanan) ketika lawatan kerja Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0) di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Negeri Selangor, Kompleks PKNS, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menamatkan proses verifikasi bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) pada 31 Mac depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pendaftaran bagi RTK2.0 ditutup pada 31 Disember tahun lalu dengan 1.1 juta pendaftaran pekerja asing direkodkan.

"Selepas proses pendaftaran ditutup, majikan perlu melakukan proses verifikasi dengan hadir ke pejabat Imigresen bersama pekerja yang didaftarkan selepas diberikan notifikasi oleh JIM.

"Menerusi proses verifikasi ini, Imigresen akan melihat jika majikan itu adalah yang sah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pekerja itu (yang didaftarkan) adalah betul-betul wujud justeru mereka perlu datang secara fizikal.

"Proses notifikasi yang sudah kita buat kepada majikan bagi proses verifikasi akan tamat pada 31 Mac ini, kegagalan majikan untuk datang bersama pekerja selepas tarikh berkenaan tidak akan dilayan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di JIM Selangor di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, majikan yang gagal melakukan proses verifikasi pekerja asing dan terus menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah boleh dikenakan beberapa tindakan undang-undang seperti Seksyen 55B, Seksyen 55E dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

"Saya fikir munasabah selepas setahun proses pendaftaran, Imigresen bertindak proaktif memberikan notifikasi.

"Selepas 31 Mac (jika tiada verifikasi daripada majikan) bermaksud majikan tidak berminat untuk menggajikan pekerja asing berkenaan yang telah melakukan kesalahan sebelum itu," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini Malaysia mempunyai dua juta pekerja asing yang sah serta memegang pas lawatan kerja sementara dan menjelang

2025, Kementerian Ekonomi menetapkan 2.4 juta pekerja asing berdaftar.

Terdahulu media melaporkan, satu mesyuarat antara KDN dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada 16 Januari ini yang akan merangka formula dalam pengurusan pekerja asing yang lebih berkesan.

Saifuddin dilaporkan berkata, mesyuarat itu akan mengemukakan dasar baharu kepada Jemaah Menteri supaya isu pekerja asing diuruskan dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 7:19 PM