SAIFUDDIN ketika siding media selepas program Ihya Ramadan bersama PDRM di Kulim. FOTO Noorazura Abdul Rahman
SAIFUDDIN ketika siding media selepas program Ihya Ramadan bersama PDRM di Kulim. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Kulim: Kerajaan tidak akan melanjutkan proses verifikasi pekerja asing kepada semua majikan yang mendaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 sebelum 31 Mac ini .

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, majikan yang memerlukan tenaga kerja asing diminta untuk menyegerakan permohonan berkenaan selepas proses pengambilan pekerja asing sudah dipermudahkan.

Katanya, ia termasuk proses memohon visa boleh terus dibuat majikan tanpa melalui ejen.

"Apabila seorang majikan memerlukan pekerja asing, dia akan memohon kuota daripada Kementerian Sumber Manusia. Apabila kuota diluluskan dia akan membayar levi kepada Imigresen, selepas itu akan mohon Visa Dengan Rujukan (VDR).

"Sekarang ini dia (majikan) yang isi (permohonan visa), lagi cepat dia isi, lagi cepat dapat kerana permohonan itu akan hanya mengambil dua hari bekerja, jadi tak timbul soal kita perlu ganjakkan tarikh tutup itu sebab dulu permohonan visa itu melalui ejen," katanya selepas program Ihya Ramadan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara,Tan Sri Razarudin Husain.

Sebelum ini media melaporkan, Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata pihaknya tidak bersetuju dengan kerajaan yang membatalkan kuota pekerja asing yang tidak digunakan sebelum 31 Mac ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) minggu lalu mengumumkan bahawa kuota yang tidak digunakan untuk mengambil pekerja asing akan dibatalkan pada 1 Jun.

Kuota aktif untuk mengambil pekerja asing, yang mana levi sudah dibayar tetapi VDR belum dikeluarkan pada akhir Mac juga akan dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 6:24 PM