Sebahagian PATI yang ditahan. FOTO ARKIB NSTP
Sebahagian PATI yang ditahan. FOTO ARKIB NSTP
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Selepas diumumkan pada 10 Januari lalu, permohonan bagi pekerja asing tanpa izin (PATI) menerusi Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK), ditutup pada 31 Disember ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, setakat ini lebih 700,000 PATI sudah mendaftarkan diri bagi mengisi keperluan tenaga kerja untuk lima sektor kritikal.

"Program Rekalibrasi 2.0 yang bermula Januari lalu akan berakhir 31 Disember tahun ini dan dengan sasaran 518,000 (pekerja asing) pada suku pertama (tahun ini), kini kita sudah berjaya mendatangkan hampir 600,000 bagi keperluan tenaga.

"Apabila kita tamatkan (program) rekalibrasi ini, bermula 31 Disember ini, mereka tidak lagi boleh mendaftar, kita hanya akan proses melalui verifikasi kepada yang sudah mendaftar," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi.

Saifuddin Nasution berkata, kutipan hasil dijana kerajaan melalui bayaran fi rekalibrasi, levi, pas visa dan proses adalah berjumlah lebih setengah bilion ringgit setakat ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi majikan yang belum membuat pendaftaran bagi pekerja asing terbabit, mereka boleh berbuat demikian dalam masa dua bulan lagi.

"Manakala bagi yang sudah mendaftar, mereka perlu membuat verifikasi pula dengan membawa sendiri pekerja berkenaan ke kaunter imigresen," katanya.

Katanya, program rekalibrasi terbabit dilaksanakan bagi memenuhi keperluan sektor kritikal terutama untuk merancakkan kembali ekonomi negara pasca Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 1:29 PM