SAIFUDDIN Nasution (tengah) ketika sidang media Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
SAIFUDDIN Nasution (tengah) ketika sidang media Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berhasrat untuk menyemak semula kadar bayaran atau fi bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang mana permohonan mula dibuka hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, buat masa ini, kadar bayaran fi rekalibrasi yang ditetapkan kekal dan tidak berubah.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak akan mempertimbangkan sebarang perubahan pada fi berkenaan.

Katanya, program sama yang dilancarkan tahun lalu itu menyumbang RM700 juta kepada pendapatan kerajaan.

"Setakat dimaklumkan oleh Jabatan Imigresen (JIM), program itu berjalan dengan lancar seperti yang dihasratkan.

"Buat masa ini, kita tidak melihat sebarang lonjakan masalah yang besar berhubung dasar pelaksanaan program itu," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 KDN, di sini, hari ini.

Beliau berkata, data berkenaan akan dikumpulkan minggu depan selain perkembangan program akan turut dimaklum kepada Jemaah Menteri.

Saifuddin berkata, menerusi program itu, majikan juga boleh menjimatkan kos dari segi latihan pekerja kerana sumber pekerja asing itu sudah ada dalam negara.

Sebelum ini, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan supaya menyemak kembali fi rekalibrasi sebanyak RM1,500 yang ditetapkan bagi setiap pekerja yang menyertai program itu.

Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang dibuka untuk permohonan bermula hari ini sehingga 31 Disember depan itu mengenakan fi rekalibrasi sebanyak RM1,500 bagi setiap pekerja.

Sektor pekerjaan yang terbabit bagi program itu termasuk perkilangan, pembinaan, perlombongan dan kuari, pengawal keselamatan, perkhidmatan, pertanian dan perladangan serta pembantu rumah asing (PRA).

Sebagai contoh, majikan yang memohon untuk mendapatkan PRA dikehendaki membayar sejumlah RM2,095 iaitu jauh lebih murah berbanding mendapatkannya sendiri dari negara sumber.

Bayaran itu termasuk RM1,500 bagi fi rekalibrasi, levi (RM410), Pas Lawatan Kerja Sementara (RM50) dan caj pemprosesan (RM125).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 3:49 PM