Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Aktiviti penjualan barangan berjenama tiruan oleh sembilan pemilik premis di kawasan pelancongan popular di Jalan Petaling di sini, ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur.

Serbuan menerusi Op Putra 3.0 yang dijalankan penguat kuasa bersama pemilik cap dagang kira-kira jam 1 tengah hari pada Selasa lalu, berjaya merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM250,000.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, pihaknya menjalankan siasatan dan risikan selama dua minggu sebaik menerima aduan daripada pemilik cap dagang.

"Serbuan dilakukan di enam gerai, tiga kedai dan sebuah stor yang dijadikan tempat penyimpanan barangan berjenama tiruan terdiri daripada jam, beg tangan, dompet dan barangan aksesori wanita.

"Hasil pemeriksaan di kesemua premis itu, pasukan menyita 2,505 unit barangan yang disyaki tiruan dianggarkan bernilai RM250,000," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Selain itu, Ariffin berkata, pihaknya turut menahan tiga individu termasuk seorang wanita yang mengaku sebagai pemilik premis berkenaan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat mereka mendapatkan bekalan itu dari luar negara dan mensasarkan pelancong asing yang datang ke kawasan Jalan Petaling.

"Barangan berjenama tiruan itu dikatakan jenis berkualiti tinggi dan dijual pada harga bermula RM400 hingga RM4,000 sedangkan kos bagi barangan terbabit serendah RM300 bergantung kepada kualiti," katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya melalui pasukan khas turut memantau penjualan barangan jenama tiruan di platform media sosial termasuk TikTok dan akan mengesan peniaga yang terbabit untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama pemilik cap dagang untuk membanteras aktiviti pengedaran dan penjualan barangan tiruan di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 12:21 PM