PEGAWAI KPDNHEP Kuala Lumpur memeriksa botol minuman keras tiruan dalam serbuan di pusat hiburan di Brickfields dan TTDI, semalam.
PEGAWAI KPDNHEP Kuala Lumpur memeriksa botol minuman keras tiruan dalam serbuan di pusat hiburan di Brickfields dan TTDI, semalam.
Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur merampas 43 botol minuman keras tiruan bernilai RM13,410 dalam serbuan di pusat hiburan di Brickfields dan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, semalam.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, serbuan dilakukan secara serentak di empat premis berasingan bermula jam 5 petang.

“Seramai 12 pegawai penguat kuasa KPDNHEP bersama beberapa wakil pemilik cap dagang terbabit dalam operasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui 43 botol minuman keras berjenama terkenal yang dipakaikan cap dagangan secara salah. Pegawai kemudian menyita kesemua botol itu yang dianggarkan bernilai RM13,410,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ariffin berkata, susulan penemuan itu siasatan dilakukan mengikut Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019 kerana menjual, menawarkan atau mendedahkan jualan barangan tiruan.

“Jika sabit kesalahan, premis berkenaan boleh dikenakan denda maksimum RM15,000 bagi setiap barangan dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda sehingga RM30,000 setiap barangan,” katanya.

Katanya, pihaknya memberi amaran keras kepada individu atau syarikat supaya tidak melanggar undang-undang khususnya membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan.

Beliau berkata, peniaga barangan tiruan bakal menerima hukuman yang berat mengikut undang-undang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 6:17 PM