Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tindakan dua premis menjual barangan tiruan berjenama untuk jualan sempena Hari Raya Aidilfitri mengundang padah apabila diserbu pihak berkuasa dan merampas barangan itu bernilai RM250,000 Isnin lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, pihaknya bersama wakil pemilik cap dagang membuat serbuan ke atas dua premis membabitkan pemborong di Jalan Haji Taib, Chow Kit dan satu lagi stor penyimpanan di Pandan Perdana hasil risikan selama dua minggu dan menahan pemilik bersama dua pekerja.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dua premis itu menyita 11,381 unit barang disyaki tiruan terdiri beg, dompet dan beg tangan berjenama.

"Jumlah sitaan bagi dua premis ini bernilai RM250,000 kerana disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

"Premis pemborong itu juga didapati menjual barangan tiruan terbabit secara dalam talian kepada pelanggan termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ariffin berkata, stor simpanan itu pula memiliki ribuan beg berjenama dan menjadi pembekal utama kepada pemborong serta peruncit di Kuala Lumpur serta turut menghantar bekalan kepada peniaga di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Ariffin ketika sidang media Ops Jeriji (Barang Tiruan) di Stor Eksibit, Segambut. FOTO AZIAH AZMEE
Ariffin ketika sidang media Ops Jeriji (Barang Tiruan) di Stor Eksibit, Segambut. FOTO AZIAH AZMEE

"Hasil serbuan mendapati dua premis dimiliki individu sama dipercayai menjalankan perniagaan ini lebih lima tahun di mana dia menyewa kedua-dua premis itu RM12,000 sebulan.

"Siasatan mendapati bekalan beg dan dompet diperoleh dari China dan stok ini bagi tujuan jualan orang ramai menyambut Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata, beg dan dompet berjenama ini diperoleh pada kos RM10 hingga RM80 seunit dan akan dijual pada harga borong iaitu RM20 hingga RM80 seunit.

"Peniaga runcit akan menjual pada harga RM60 hingga RM200 bagi seunit bergantung kepada kualiti.

"Kita turut menyiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 4:40 PM