Ariffin memeriksa barangan yang dirampas. FOTO ihsan KPDNHEP
Ariffin memeriksa barangan yang dirampas. FOTO ihsan KPDNHEP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Mereka mampu mengaut keuntungan sehingga mencecah jutaan ringgit hasil aktiviti membekal aksesori telefon dan peralatan elektronik berjenama yang disyaki tiruan di seluruh negara.

Kegiatan dua lelaki yang berperanan sebagai pembekal barangan tiruan itu terbongkar hasil serbuan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur di empat premis di Pudu di sini, hari ini.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata, serbuan jam 12 tengah hari itu berjaya merampas 210,000 unit aksesori telefon dan peralatan elektronik membabitkan rampasan bernilai RM5.27 juta.

Menurutnya, ia adalah rampasan terbesar pihaknya tahun ini.

Katanya, serbuan menerusi operasi bersepadu barang tiruan itu dilakukan pegawai KPDNHEP bersama wakil pemilik cap dagang selepas melakukan risikan selama tiga minggu bermula daripada maklumat penjualan secara dalam talian.

"Hasil pemeriksaan mendapati sebuah premis dijadikan kedai jualan secara borong manakala tiga premis lagi dijadikan tempat penyimpanan barang-barang yang disyaki tiruan terdiri daripada aksesori telefon dan peralatan elektronik berjenama.

"Pemilik premis didapati menjual barangan itu secara dalam talian dan secara borong dengan pembelian minimum RM500. Pemilik turut mengedarkan barangan itu ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ariffin berkata, dua pemilik premis dan tiga pekerja termasuk dua wanita warga asing berusia lingkungan 20-an ditahan untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu dan bagi kesalahan kali kedua denda sehingga RM30,000.

"Jika bukan pertubuhan, boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua boleh didenda RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Untuk rekod, KPDNHEP Kuala Lumpur menghasilkan sebanyak lapan kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan nilai rampasan sebanyak RM5.5 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 5:54 PM