ANTARA lokasi yang diserbu. FOTO ihsan KPDN
ANTARA lokasi yang diserbu. FOTO ihsan KPDN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jalan Petaling di sini, yang menjadi antara lokasi panas penjualan barangan tiruan diserbu buat kali keempat oleh pihak berkuasa menerusi Op Putra 4.0, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan dijalankan selama dua minggu.

Katanya, operasi itu turut disertai pihak KPDN Putrajaya dan Selangor selain Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta wakil pemilik cap dagangan.

"Operasi ini adalah kali keempat dijalankan bermula Mac 2023 kerana terdapat laporan dikeluarkan oleh United States Trade Representative (USTR) mengenai penjualan barangan tiruan berleluasa di Jalan Petaling.

"Dalam operasi ini, kami menyerbu 12 stor yang dijadikan tempat penyimpanan barang disyaki tiruan terdiri daripada jam tangan, kasut, beg tangan dan dompet berjenama.

"Susulan itu, kami menyita 6,250 barang disyaki tiruan termasuk beg, dompet, beg tangan dan jam tangan berjenama dianggarkan bernilai RM300,000," katanya di Majlis Pelupusan Mega KPDN Kuala Lumpur di Kompleks Sentral Segambut di sini, hari ini.

ARIFFIN (dua kiri) bersama Timbalan Ketua Setiausaha KPDN Datuk Zakaria Shaaban pada Majlis Pelupusan Mega KPDN Wilyah Persekutuan Kuala Lumpur 2024. FOTO Nur Raihana Alia
ARIFFIN (dua kiri) bersama Timbalan Ketua Setiausaha KPDN Datuk Zakaria Shaaban pada Majlis Pelupusan Mega KPDN Wilyah Persekutuan Kuala Lumpur 2024. FOTO Nur Raihana Alia

Ariffin berkata, kesemua barang itu disita mengikut Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki menggunakan cap dagangan secara salah.

"Dalam serbuan ini, kami turut menahan dua wanita tempatan yang mengaku sebagai pemilik stor berkenaan.

"Berdasarkan maklumat, barangan itu diperolehi dari negara luar sebelum dijual kepada pelancong warga asing yang berkunjung ke Jalan Petaling selain dibekalkan kepada warga tempatan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Kita juga mendapati sepasang kasut tiruan berjenama dijual antara harga RM100 sehingga RM600 dan harga kos pula adalah antara RM50 sehingga RM300 bergantung kepada kualiti barangan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyiasat semua pihak yang terbabit di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

"Dalam operasi sama, pihak JIM Kuala Lumpur menahan 10 warga asing terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita kerana gagal mengemukakan maklumat pengenalan diri semasa pemeriksaan dijalankan.

"Pihak DBKL turut mengeluarkan enam notis kompaun kerana melanggar akta berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Katanya, sebanyak 135 kes direkodkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 membabitkan 100,000 barang bernilai RM4 juta pada tahun lalu.

"Dalam Op Jeriji pula, seramai 30 individu ditahan setakat ini atas kesalahan berkaitan dengan harta intelek sepanjang tahun lalu.

"Kami akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang harta intelek di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 secara berterusan dalam membanteras penjualan barangan tiruan.

"Kami mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar bagi meningkatkan kerjasama berterusan untuk membanteras aktiviti pengedaran serta penjualan barangan tiruan di pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 1:43 PM