MCILROY  dan Lowry bergambar bersama trofi dimenangi mereka. FOTO REUTERS
MCILROY dan Lowry bergambar bersama trofi dimenangi mereka. FOTO REUTERS
AFP

Miami: Gandingan Rory McIlroy dan Shane Lowry memenangi acara berpasukan Jelajah PGA, Zurich Klasik di New Orleans, awal pagi tadi, menerusi playoff ke atas Chad Ramey dan Martin Trainer.

Gandingan Amerika Syarikat (AS)-Perancis menerusi Ramey dan Martin memulakan hari dengan ketinggalan tujuh pukulan berbanding pendahulu, tetapi catatan sembilan bawah par 63 membolehkan mereka mendahului saingan.

Ia memberikan tekanan kepada kumpulan terakhir untuk mencapai sasaran bawah 25 dan hanya gandingan McIlroy serta Lowry, yang bermain bersama-sama untuk pasukan Olimpik Ireland serta pasukan Eropah bagi Piala Ryder, mampu mengejar mereka.

Selepas Lowry yang juga juara Terbuka British pada 2019 terlepas putt untuk par di lubang ke-17, gandingan itu sedar mereka memerlukan di lubang ke-18 untuk mengheret perlawanan ke playoff.

McIlroy yang juga pemain nombor dua dunia melakukan pukulan menarik yang membolehkan Lowry menyempurnakan birdie dari jarak lima kaki.

McIlroy yang bermain kali pertama di kejohanan itu jelas gembira dengan kemenangan berkenaan.

"Sangat menakjubkan. Kami melalui minggu hebat di New Orleans. Penyokong turut menakjubkan sepanjang minggu.

"Mendapat sokongan hebat dan keseronokan melakukan perkara ini, ia sudah tentu minggu yang menakjubkan dan sudah tentu saya rasa satu bonus apabila akhirnya kami muncul pemenang," katanya.

"Tetapi, sudah tentu tiada yang lebih baik apabila lelaki ini berada di samping saya dan kami menang Jelajah PGA bersama-sama."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 10:18 AM