KUCING yang didenda dengan ‘bekerja’ apabila tampil menerusi penstriman langsung.
KUCING yang didenda dengan ‘bekerja’ apabila tampil menerusi penstriman langsung.
Agensi

Beijing: Seekor kucing didenda 'kerja' dengan permohonan maaf yang digantung di lehernya, kerana secara tidak sengaja menghidupkan dapur induksi apabila terpijak panel sentuh seterusnya mencetuskan kebakaran di sebuah kediaman di Sichuan, China, 4 April lalu.

The Straits Times melaporkan tuan punya kucing itu seorang wanita di Sichuan, China, meninggalkan rumah untuk bermain mahjong dengan rakan-rakan, dan dia tidak menyangka bahawa tingkat satu unit loft akan terbakar tidak beberapa lama kemudian.

Kebakaran menyebabkan dia mengalami kerugian 100,000 yuan (kira-kira RM65,931), lapor media China.

Selepas menerima panggilan mengenai kebakaran daripada kakitangan pengurusan hartanah, wanita itu segera bergegas pulang.

Kucing berbulu pendek warna keemasan baka British miliknya, yang bernama Jingoudiao, ditemukan diselaputi abu di dalam kabinet di tingkat atas unit loft itu, dan ia tidak cedera, lapor South China Morning Post.

Wanita itu berkongsi kisahnya di Douyin, TikTok versi China.

Dia berkata, dia membuat kucingnya 'bekerja' untuk membayar 'hutang' melalui sesi penstriman langsung, lapor ET Today.

Video kucingnya sejak itu menarik lapan juta tontonan daripada netizen yang terpegun melihat penampilan comel kucingnya.

Walaupun dia memanggil kucingnya sebagai "pembakar", tuan punya kucing berkata, dia juga perlu dipersalahkan.

Pada 13 April, dia menyiarkan di media sosial surat permohonan maaf, ditandatangani dengan cap jarinya dan cap kaki kucingnya.

Wanita itu berkata, dia sepatutnya mematikan kuasa elektrik kepada dapur induksi dan menggesa orang lain supaya berhati-hati dengan risiko kebakaran di dapur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 11:01 AM