ANGGOTA bomba membantu mengeuarkan mangsa yang maut tertimbus.
ANGGOTA bomba membantu mengeuarkan mangsa yang maut tertimbus.
Safeek Affendy Razali


Kuala Lumpur: Pekerja kuari meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang salur pemproses batu sebelum tertimbus di City Link, Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, hari ini.

Mangsa seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Mujiono, 49 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, pihak bomba menerima maklumat mengenai kejadian ini pada jam 5.08 petang.

"Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba Penyelamat Teluk Panglima Garang, dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.

"Berdasarkan maklumat awal, mangsa terjatuh ke dalam ruang salur convenyor dan tertimbus semasa melakukan kerja-kerja pemindahan batu kuari.

"Mangsa tertimbus dengan kedalaman enam meter sebelum bomba terpaksa melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa bermula jam 5.20 petang," katanya kepada media hari ini.

Katanya, mangsa kemudian berjaya dikeluarkan melalui salur convenyor pada 7 malam.

"Sebaik dikeluarkan, mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 9:56 PM