KANAK-kanak ditemukan selamat di hutan berbatu berdekatan Kuari Batu Perigi. FOTO ihsan bomba
KANAK-kanak ditemukan selamat di hutan berbatu berdekatan Kuari Batu Perigi. FOTO ihsan bomba
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kanak-kanak lelaki yang hilang di hutan berdekatan Kuari Batu Perigi di Sematan, Lundu, semalam ditemui selamat selepas kira-kira 23 jam kehilangannya dilaporkan.

Mangsa, Muhammad Rayyan Bujang Abdul Qayyum, 2, ditemui pada jam 10 pagi kira-kira dua kilometer dari pos kawalan bomba (PKB) oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dengan bantuan anjing pengesan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, kanak-kanak itu ditemui di kawasan hutan berbatu di atas bukit bersebelahan rumah pekerja kuari.

Menurutnya, kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan cergas meskipun sendirian selama kira-kira 23 jam.

"Mangsa tidak mengalami kecederaan, cuma calar-calar sedikit di beberapa bahagian badannya dipercayai terkena batu atau ranting.

"Keadaannya pun baik, malah kelihatan cergas walaupun hilang dalam tempoh agak lama tanpa makan dan minum," katanya.

Bomba menerima maklumat kehilangan kanak-kanak itu selepas menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu pada jam 4.05 petang semalam.

Kanak-kanak itu disedari hilang ketika dia sedang bermain di luar pondok di belakang rumah pekerja kuari itu tengah hari semalam.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan mengikut ibunya ke pondok itu kerana menunggu bapanya balik kerja.

Menyedari kehilangan kanak-kanak itu, ibu serta bapanya dengan bantuan beberapa pekerja berusaha mencarinya di sekitar kawasan kuari itu.

Selepas mereka gagal mencari mangsa, laporan dibuat di Balai Polis Lundu sebelum operasi SAR diaktifkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu dengan bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pekerja kuari.

Bagaimanapun, sehingga jam 5.50 petang semalam, mangsa masih gagal dikesan dan operasi SAR ditangguhkan.

Operasi yang disambung hari ini turut disertai anjing pengesan Unit K9 JBPM Sarawak bernama Daisy dan radius pencarian diperluas sehingga tiga kilometer keliling di kawasan hutan, kebun kelapa sawit serta dusun durian, sebelum kanak-kanak itu ditemukan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 3:17 PM