Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang pekerja warga asing dikhuatiri mati tertimbus dalam kejadian runtuhan kuari batu kapur di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai kejadian itu pada 10.45 pagi.

Katanya, maklumat diperolehi memaklumkan terdapat seorang lelaki dipercayai pekerja warga asing tertimbus susulan kejadian itu.

"Polis melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan agensi lain di lokasi runtuhan.

"Operasi dijalankan dengan pemantauan pergerakan batu di lokasi kejadian oleh pakar cerun dari JMG," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dipercayai tertimbus bersama jentera berat yang dikendalikan.

Menurutnya, bagaimanapun kerja membawa keluar mangsa dihentikan sementara memandangkan masih terdapat pergerakan batu yang jatuh dari tebing.

"Tangan mangsa mangsa tersepit di bawah jentera dan belum dapat dikeluarkan. Justeru kerja-kerja membawa keluar mangsa dihentikan sementara akibat runtuhan susulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 2:46 PM
Polis mengesahkan berlaku insiden runtuhan kuari batu kapur di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini, hari ini yang menagkibatkan seorang individu dipercayai pekerja warga asing di kuari berkenaan tertimbus. FOTO L.MANIMARAN
Polis mengesahkan berlaku insiden runtuhan kuari batu kapur di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini, hari ini yang menagkibatkan seorang individu dipercayai pekerja warga asing di kuari berkenaan tertimbus. FOTO L.MANIMARAN