ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mayat lelaki yang maut dihempap batu ketika melakukan kerja-kerja memecah batu di sebuah kawasan kuari di Sungai Raia, Keramat Pulai. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mayat lelaki yang maut dihempap batu ketika melakukan kerja-kerja memecah batu di sebuah kawasan kuari di Sungai Raia, Keramat Pulai. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


KUARI di Simpang Pulai, di Ipoh diarah memberhentikan kerja sementara waktu susulan kematian pemandu jengkaut yang ditimpa batu ketika sedang bekerja di kuari berkenaan semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Zamzurin Maarof berkata, pihaknya yang mendapat maklumat mengenai kejadian itu bertindak menjalankan siasatan di kuari berkenaan semalam.

Menurutnya, susulan daripada siasatan yang dijalankan, JKKP Perak mendapati majikan gagal mematuhi prosedur kerja selamat dan penaksiran risiko untuk kerja-kerja pemecahan, pengalihan dan pemindahan batu dari tapak kuari.

“JKKP Perak bertindak mengeluarkan satu notis larangan kerja sementara kepada pemilik kuari sehingga tiga notis perbaikan yang turut dikeluarkan dipatuhi.

“Tindakan perundangan juga akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab jika didapati terdapat pelanggaran mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zamzurin yang turut sama meninjau di lokasi kejadian petang semalam berkata, pihaknya memandang serius setiap kemalangan membabitkan pekerja mahupun orang awam.

Menurutnya, majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan kerana kejadian seumpama ini boleh dielakkan.

“Majikan perlu melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah dinyatakan dalam garis panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” katanya.

Dalam kejadian 7.30 pagi semalam, pemandu jengkaut warga tempatan, Loi Thiam Fatt, 56, meninggal dunia di tempat kejadian susulan parah pada badan akibat dihempap batu.

Berita berkaitan

Lelaki maut dihempap batu

[UPDATE] Maut ketika bersihkan batu kuari pecah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 10:48 AM