ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan yang mengakibatkan seorang wanita maut di Batu 14 Lekir, Sitiawan. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan yang mengakibatkan seorang wanita maut di Batu 14 Lekir, Sitiawan. FOTO Ihsan Bomba
Noor Hidayah Tanzizi


GURU maut selepas Proton Saga FLX dipandu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta lain di Batu 14 Lekir, Sitiawan, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.05 tengah malam, mangsa Rohani Zakaria, 53, maut di tempat kejadian akibat parah pada kaki dan kepala.

Suaminya yang juga anggota Cawangan Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Amir Hamzah Idris, 54, yang juga penumpang hadapan cedera di muka, kaki dan tangan dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, anak perempuan mereka yang duduk di kerusi penumpang belakang, Nurul Afiqah, 18, tidak cedera.

Pemandu Perodua Myvi yang bertembung dengan kenderaan mangsa, Mohd Hafiz Abdul Habib, 31, patah kaki.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, siasatan mendapati kenderaan dinaiki guru berkenaan dari arah Teluk Intan menghala ke Sitiawan, manakala Perodua Myvi dari arah bertentangan.

Beliau berkata, apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba kereta dipandu Rohani memasuki laluan Perodua Myvi sebelum kedua-dua kenderaan itu bertembung.

"Kemalangan itu menyebabkan wanita itu parah pada kaki serta kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pemandu Perodua Myvi dan suami mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Muhammad Hanif berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HSM untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan yang tiba di lokasi mendapati wanita tersepit manakala dua mangsa lelaki yang cedera sudah dikeluarkan oleh orang awam.

"Bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat.

"Semua mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan yang hadir untuk tindakan lanjut dan operasi yang diketuai Khairul Azizi Kamarudin tamat jam 1.13 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 10:40 AM