Rosman Shamsudin


Sungkai: Seorang lagi disahkan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga dan Perodua Myvi di Kilometer 88 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur berdekatan Kampung Klah Baru, di sini, hari ini.

Mangsa ketiga, pemandu kereta Perodua Myvi, Muhammad Ridhwan Ismail berusia 22 tahun berasal dari Kampung Padang Tembak, Teluk Intan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River.

Sebelum itu, pasangan suami isteri, Mohamed Tahir Junus, 64, dan isterinya, Nor Aini Mohd Sam, 56, yang menaiki kereta Proton Saga maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim menerima laporan kemalangan yang membabitkan dua kenderaan pada jam 11.40 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua kenderaan masih berada dalam kedudukan asal.

"Siasatan awal mendapati, Muhammad Ridhwan Ismail dalam perjalanan dari Subang Jaya ke Teluk Intan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung secara berdepan dengan kereta Proton Saga yang dinaiki pasangan suami isteri terbabit," katanya di sini, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, akibat kemalangan itu, pasangan suami isteri berkenaan meninggal di tempat kejadian, manakala, Muhammad Ridhwan yang parah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita berkaitan:

  • 'Mungkin mak tak sempat nak makan buah ni'
  • Dua maut, seorang parah kemalangan dua kereta [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 5:26 PM