Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan PDRM
Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan PDRM
Asrol Awang


Pekan: Dua maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 36 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 12.30 tengah hari itu, mangsa yang maut ialah pemandu Proton Saga, Chaw Jiun Shyan, 27, dan pemandu Perodua Myvi, Zainong Abdullah, 56, dari Pasir Gudang, Johor.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata berdasarkan laporan, siasatan awal mendapati Jiun Shyan yang memandu Proton Saga dalam perjalanan dari arah Rompin menghala ke Pekan.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu Jiun Shyan terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Kereta dipandu Jiun Shyan bertembung dengan Perodua Myvi dipandu Zainong. Satu lagi kereta iaitu Proton Wira yang dinaiki empat individu berada di belakang Myvi tidak sempat membrek sebelum terlanggar belakang kenderaan itu.

"Jiun Shyan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Zainong ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Nenasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kemalangan itu turut menyebabkan penumpang Myvi, Yusof Alias, 59, mengalami kecederaan parah manakala pemandu dan penumpang Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 7:25 PM