LIM Guan Eng dan Abdul Hadi Awang. FOTO Arkib NSTP
LIM Guan Eng dan Abdul Hadi Awang. FOTO Arkib NSTP
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Polis selesai merakam keterangan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng bagi membantu siasatan polis berkaitan isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) membabitkannya, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, ketika mengesahkan perkara itu berkata proses rakam keterangan Ahli Parlimen Bagan itu dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan polis akan merakam keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman membabitkan parti DAP, baru-baru ini.

"Kita juga akan merakam kenyataan Abdul Hadi di pejabatnya di Kuala Lumpur, esok," katanya kepada BH, hari ini.

Ahad lalu, Bukit Aman mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Guan Eng yang dipercayai menyentuh isu 3R dengan mendakwa 'gelombang hijau' bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

Kenyataan itu dipercayai diucapkan beliau semasa berucap dalam program 'Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore - Malaysia Tour 2023' di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang pada 7 Julai lalu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, Razarudin pada Isnin lalu memaklumkan polis menyiasat Abdul Hadi susulan satu hantaran di akaun Facebook bertajuk Minda Presiden Pas, pada Sabtu lalu yang mengulas mengenai parti DAP.

Menurut Razarudin, hasil siasatan polis mendapati hantaran berkenaan mengandungi kenyataan yang berunsur perkauman yang boleh mencetus kegusaran awam.

Kenyataannya itu turut dipetik dan dilaporkan akhbar New Straits Time (NST).

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Terdahulu, Razarudin dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini, hari ini memaklumkan sebanyak 61 kertas siasatan dibuka setakat ini membabitkan isu 3R sejak 27 Mac lalu.

Kertas siasatan berkaitan kes 3R yang disiasat itu, katanya membabitkan pelbagai golongan termasuk ahli politik, orang awam dan ahli badan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Razarudin, selain Abdul Hadi, Guan Eng, antara tokoh politik yang sedang disiasat berkaitan isu 3R adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 9:20 PM