ABDUL Hadi Awang. FOTO arkib NSTP
ABDUL Hadi Awang. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi dan Siti Norhidayah Mohd Yunus


Kuala Lumpur: Polis akan merakam percakapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan bertajuk 'Ketinggian Islam wajib dipertahankan,' esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keterangan Abdul Hadi akan dirakam di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut pada 2.30 petang.

Menurutnya, pegawai khasnya sudah memaklumkan keadaan kesihatan beliau kepada polis dan menetapkan keterangan diambil esok.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan KDNKA serta Pengarah dan Pengerusi PERKEP JSJN PDRM di Dewan Tan Sri Abd Rahman Hashim di Pulapol, di sini, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat Abdul Hadi yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Raja-Raja Melayu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi itu bertajuk 'Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan' pada 20 Februari lalu di laman web https://pas.org.my/.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 1:13 PM