Fuziah (dua dari kiri) menyampaikan replika kepada salah seorang penerima pada program Outreach Sara Hidup di bawah Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai Pelajar Tingkatan Enam dan Diploma Kolej Vokasional di Hotel De Palma Resort Kuala Selangor, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Fuziah (dua dari kiri) menyampaikan replika kepada salah seorang penerima pada program Outreach Sara Hidup di bawah Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai Pelajar Tingkatan Enam dan Diploma Kolej Vokasional di Hotel De Palma Resort Kuala Selangor, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal melaksanakan pembelian minyak masak paket kepada kumpulan sasar mulai tahun hadapan.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, ketika ini kuota minyak masak paket adalah 65,000 metrik tan sebulan bersamaan 60 juta paket sebulan.

Pada masa sama, beliau berkata, seramai 5.8 juta isi rumah daripada golongan M40 dan B40 sudah dikenal pasti dan layak berada dalam kumpulan itu.

"Kita juga akan tambah kira-kira satu juta paket untuk usahawan mikro yang memerlukannya seperti peniaga ayam goreng, pisang goreng dan keropok lekor," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program outreach sara hidup di bawah Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai Pelajar Tingkatan Enam dan Diploma Kolej Vokasional serta Aduan SURI di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey dan Setiausaha Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Yusli Askandar.

Menurut Fuziah, dalam masa sama juga KPDN mewujudkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) iaitu agensi di bawah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Data ini akan ada paling awal hujung tahun ini sebab sebelum ini data di merata-rata tempat seperti eKasih dan zakat. Jadi kita ada anggaran 5.8 juta isi rumah dianggarkan hampir satu juta usahawan mikro," katanya.

Sehubungan itu, Fuziah meminta usahawan mikro untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tujuan tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 4:58 PM