PESAKIT kencing manis tidak perlu diet yang terlalu ketat. - FOTO Google
PESAKIT kencing manis tidak perlu diet yang terlalu ketat. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


TERDAPAT beberapa mitos dikaitkan dengan penyakit kencing manis, terutama kepada pesakit dan penjaganya.

Antaranya, melewatkan waktu makan untuk mengawal paras gula dalam darah yang turun naik, pengambilan produk 'bebas gula' atau digantikan dengan gula gantian, mengelakkan pengambilan kentang, keledek, labu dan jagung.

Ahli Diabetes Malaysia Poh Kai Ling berkata, tindakan melewatkan waktu makan atau kurang makan tidak semestinya membantu mengurangkan paras gula dalam darah.

Beliau menasihati pesakit supaya makan apabila lapar kerana badan memerlukan makanan.

"Mengabaikan tanda kelaparan hanya akan meningkatkan selera makan yang tinggi hingga menyukarkan individu ini mengawal pengambilan makanan dalam hidangan seterusnya.

"Membaca label makanan juga penting untuk memahami kandungan nutrisi dengan lebih baik. Ini kerana, tidak semua produk bebas gula adalah bebas karbohidrat," katanya.

Poh berkata, kentang, keledek, labu dan jagung adalah sebahagian daripada makanan karbohidrat.

"Memang benar pengambilan karbohidrat meningkatkan paras gula dalam darah.

"Bagaimanapun, sayur-sayuran berkanji ini juga sangat berkhasiat dan mengandungi pelbagai vitamin, mineral, antioksidan serta serat penting untuk tubuh.

"Pengambilan makanan jenis ini tidak sepatutnya dielakkan kerana yang penting adalah mengawal saiz hidangan," katanya.

Beliau berkata, Malaysia kini mencatatkan kadar kencing manis tertinggi di Asia iaitu 17.5 peratus dengan lebih 3.5 juta rakyat menghidap penyakit berkenaan.

"Kajian menunjukkan satu daripada lima orang dewasa di negara ini menghidap kencing manis. Ia penyakit kronik yang memerlukan penjagaan dan pengurusan jangka panjang.

"Tahap glukosa tidak sihat dalam darah boleh menyebabkan komplikasi kesihatan jangka panjang dan pendek yang akan menjejaskan jantung serta buah pinggang.

"Manual Pendidikan Diabetes 2020 yang diterbitkan Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES) melaporkan bahawa berdasarkan trend semasa, dianggarkan tujuh juta orang dewasa Malaysia berkemungkinan menghidap kencing manis menjelang 2025.

"Melihat statistik ini, impian Malaysia menjadi negara bebas kencing manis sudah tersasar jauh," katanya.

ASAS pengurusan kencing manis. - FOTO Google
ASAS pengurusan kencing manis. - FOTO Google

Poh berkata, berdasarkan perkara itu juga, maka tercipta 10 resipi makanan lazat, menyihatkan dan sesuai untuk pesakit kencing manis.

Katanya, resipi ini hasil perbincangan beliau bersama Cef Selebriti Nik Michael Imran untuk mencipta mencipta satu siri resipi, terdiri daripada hidangan fusion dan tempatan yang boleh disediakan dalam tempoh kurang daripada 20 minit.

"Kami memperkenalkan resipi ini menerusi kempen 'For Your Sweetheart' yang melancarkan buku elektronik 'simple healthy cooking'.

"Idea resipi ini tercetus apabila melihat ada dalam kalangan pesakit kencing manis dan penjaganya berhadapan kesulitan menyediakan hidangan harian bersesuaian buat pesakit," katanya.

Mengulas mengenai diet pesakit kencing manis, Poh berkata, diet mereka tidak perlu terlalu ketat, membosankan hingga menyukarkan mereka membuat pilihan makanan.

"Pemakanan sihat bagi pesakit kencing manis tidak banyak bezanya dengan individu lain. Lebih penting ialah makan dalam jumlah terkawal dan hanya mengambil sebahagian hidangan tinggi karbohidrat.

"Salah satu caranya ialah dengan mengambil tahu Indeks Glisemik (GI) makanan berkenaan. GI ialah nilai bagi mengukur kadar seberapa cepat karbohidrat pada makanan mampu meningkatkan glukosa dalam darah," katanya.

Beliau berkata, secara ringkasnya, makanan GI rendah iaitu antara sifar hingga 55, dianggap karbohidrat yang baik.

"Manakala makanan GI tinggi (70 hingga 100) dianggap karbohidrat yang tidak baik. Semakin tinggi nilai GI, semakin besar kesan ke atas paras gula dalam darah.

"Memahami GI makanan boleh membantu pesakit dalam mengawal kencing manis dan secara serentak dapat mengira pengambilan karbohidrat," katanya.

Kempen For Your Sweetheart diteruskan sejak tiga tahun lalu yang turut menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk 'Think Diabetes Think Heart' dan salah satu inisiatifnya adalah menerusi pengesanan awal.

Jelas Poh, rakyat Malaysia yang berisiko tinggi atau mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidap kencing manis digalakkan menjalani ujian pengesanan awal sebagai langkah pencegahan.

"Kempen For Your Sweetheart menyediakan Pemeriksaan Diabetes HbA1c percuma di klinik yang mengambil bahagian di seluruh negara.

"Usaha pemeriksaan ini disokong syarikat farmaseutikal terkemuka dunia, Boehringer Ingelheim dengan kerjasama Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES) serta Persatuan Diabetes Malaysia (PDM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 6:41 AM