Rosli Ilham


Chukai: "Tahun lalu Allah uji saya dengan kehilangan ibu tersayang, hari ini saya sekali lagi berdepan dengan ujian ini."

Begitu kata Shahrizal Saliman, abang kepada Muhammad Fikri, 24, yang masih belum ditemui selepas terbabit dalam tragedi kepala air di jeram Air Putih, Kemaman pada Sabtu lalu.

Shahrizal, 40, berkata dia yang tinggal di Batu Pahat tiba kira-kira 2 pagi tadi untuk menyaksikan sendiri operasi mencari adiknya yang masih belum ditemui.

"Saya bersama lapan ahli keluarga tiba di Kemaman untuk melihat sendiri kawasan bencana berkenaan.

"Dalam hati hanya Tuhan yang tahu, saya nak tengok juga adik biarpun dia ditemui dalam apa keadaan sekali pun," katanya.

Shahrizal berkata, adiknya tidak memaklumkan mahu bersama keluarga tunangnya pergi berkelah di kawasan tragedi itu.

"Dia hanya maklum untuk pergi beraya di rumah keluarga tunangnya di Felda Lepar Hilir 3 (Gambang, Pahang) dan maklum akan balik ke Batu Pahat pada Sabtu atau Ahad.

"Kami sempat bermohon maaf di pagi raya (Aidiladha) sebelum adik bertolak dengan motosikal ke rumah tunangnya," katanya.

Katanya, dia dan adiknya sangat rapat kerana mereka tinggal serumah, malah adiknya adalah satu-satunya tempat dia mengadu.

"Selepas majlis pertunangan pada Febuari lalu, saya bersama abang, adik perempuan serta Muhammad Fikri merancang untuk majlis perkahwinan itu pada tahun depan.

"Tiba-tiba Muhammad Fikri memaklumkan mahu mempercepatkan majlis perkahwinannya itu dan kami bersetuju pada Disember ini," katanya.

TEMURAMAH abang manga, Shahrizal dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih ketika ditemui di Balai Polis Air Putih. FOTO Ghazali Kori
TEMURAMAH abang manga, Shahrizal dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih ketika ditemui di Balai Polis Air Putih. FOTO Ghazali Kori

Katanya, dia ada bertanya kepada adiknya mengenai wang untuk persiapan majlis perkahwinannya, namun Muhammad Fikri hanya berdiam diri.

"Saya tahu pendapatan adik yang bekerja di kedai makan tidak besar, namun sejak kebelakangan ini adik kelihatan bekerja keras termasuk kerja lebih masa dan pantang disuruh dia akan segera menyelesaikan kerja kawan-kawannya.

"Saya juga tumpang gembira bila adik kahwin dengan cepat kerana ingin melihat dia hidup bahagia dengan keluarganya sendiri.

"Saya ni biarlah, saya rela berkorban demi adik-beradik," katanya yang masih bujang.

Shahrizal berkata, dia berharap adiknya segera ditemui dan tetap reda dengan apa yang berlaku sekiranya ditemui meninggal dunia sekali pun.

"Kalau ditakdirkan dia sudah tiada... saya akan kebumikan jenazah adik bersebelahan dengan kubur ibu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 12:31 PM