Rosli Ilham

Chukai: "Saya bersyukur adik sudah ditemui biarpun saya hanya dapat melihat jasadnya yang tidak bernyawa," kata Shahrizal Saliman, abang kepada Allahyarham Muhammad Fikri iaitu salah seorang mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Sabtu lalu.

Shahrizal, 40, berkata, dia bersyukur dipertemukan dengan mayat adiknya pada Jumaat yang mulia.

Menurutnya, selama empat hari dia berada di Kemaman bersama pihak berkuasa mengadakan operasi mencari adiknya serta mangsa lain.

"Sejak menerima berita kehilangan adik Sabtu lalu, firasat hati saya sangat kuat adik akan dijumpai.

"Selama empat hari di sini bersama pasukan keselamatan, saya tidak pernah berputus asa sebaliknya banyak berdoa supaya adik ditemui.

"Semalam saya ketika berada di tempat kejadian, saya melaungkan azan sebagai usaha mengharapkan adik segera ditemui.

"Alhamdulillah syukur pada Allah apabila pagi ini saya mendapat berita daripada pasukan penyelamat memaklumkan adik sudah ditemui," katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, di sini.

Katanya, mayat masih berada di Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

SHAHRIZAL (kanan) ketika menyertai operasi mencari mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih. FOTO arkib NSTP
SHAHRIZAL (kanan) ketika menyertai operasi mencari mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih. FOTO arkib NSTP

"Saya harap proses siasatan disegerakan dan mayat akan dibawa ke kampung di Batu Pahat untuk dikebumikan.

"Jenazah akan dikebumikan bersebelahan dengan kubur ibu di Kampung Lubuk Semerah, Batu Pahat," katanya.

Shahrizal berkata, dia sangat berterima kasih kepada pasukan penyelamat dan pihak yang bertungkus-lumus sejak tujuh hari lalu mencari kesemua mayat mangsa termasuk adiknya.

"Saya dapat lihat sendiri betapa letihnya mereka berusaha bersungguh-sungguh sepanjang operasi pencarian.

"Terima kasih juga kepada pihak yang membantu menguruskan jenazah termasuk menyediakan tempat penginapan dan makan minum kepada saya dan keluarga mangsa yang lain," katanya.

Polis hari ini mengesahkan mayat yang ditemukan jam 9.20 pagi tadi oleh pasukan penyelamat kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian disahkan Muhamad Fikri.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, identiti mayat disahkan berdasarkan proses cap jari yang sepadan dengan mangsa.

"Polis juga sedang menunggu keputusan ujian DNA yang akan diketahui dalam tempoh terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 5:59 PM