SUHARA (dua dari kiri) bersama Hamiludin (kanan) menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada Shahrizal. FOTO Ihsan Perkeso
SUHARA (dua dari kiri) bersama Hamiludin (kanan) menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada Shahrizal. FOTO Ihsan Perkeso
Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Ini hadiah istimewa ditinggalkan arwah adik," kata Shahrizal Suliman, 40, abang kepada Allahyarham Muhammad Fikri, 24, mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman, Terengganu minggu lalu sebaik menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM), hari ini.

Menurutnya, dia mengakui hatinya belum dapat menerima hakikat pemergian adik bongsunya dalam tragedi itu yang turut mengorbankan semua bakal keluarga mentuanya.

"Rindu kami terhadap adik masih tiada penghujung, kami merasainya apabila diuji Allah.

"Cuma kami perlukan sedikit masa untuk menghadapi dugaan ini, walau pahit untuk ditelan, namun kehidupan harus diteruskan," katanya ketika dihubungi.

Penyampaian FPM Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada Shahrizal disempurnakan Hamiludin Deman yang juga Pegawai Khas kepada Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid di rumahnya di Kampung Parit Kuda, Lubuk Semerah di sini.

Hadir sama, Pengurus Perkeso Batu Pahat, Suhara Mustaffa, Timbalannya, Sallehudin Saidin serta Skuad Perkeso Batu Pahat.

Sementara itu, Suhara berkata, hasil semakan mendapati arwah layak menerima caruman FPM.

Katanya, memandangkan kedua-dua ibu bapa arwah sudah meninggal dunia, FPM itu diserahkan kepada adik beradiknya.

Tragedi kepala air yang berlaku pada petang 1 Julai lalu mengorbankan sembilan sekeluarga serta Muhammad Fikri, namun sehingga kini, hanya Putri Nur Fatin Karim, 14, belum ditemui.

Mayat Muhammad Fikri yang juga mangsa kesembilan ditemui pada 9.20 pagi Jumaat lalu, iaitu dua kilometer dari lokasi mereka dikatakan berkelah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 4:29 PM