Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Kalau adik dijumpai masih hidup...alhamdulillah, tetapi kalau dia sudah tiada (meninggal dunia) kami kena reda dia pergi dengan cara macam itu.

"Sebagai waris, kami nak tengok dan pastikan jenazah ada ke tidak," kata Shahrizal Saliman, 40, abang kepada Muhammad Fikri, 24, yang dikhuatiri lemas selepas tragedi kepala air melanda kawasan perkelahan di Kampung Air Puteh, Kemaman, Terengganu, semalam.

Muhammad Fikri yang mesra dengan panggilan adik adalah tunang kepada arwah Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, yang turut dikhuatiri lemas bersama lapan ahli keluarga mereka hari ini.

Menceritakan lebih lanjut, mereka sekeluarga hanya mengetahui kejadian menimpa adik bongsunya itu serta keluarga tunang pada 10.30 pagi semalam melalui salah seorang sepupu.

Katanya, mereka mula-mula terperanjat sebaik dimaklumkan tragedi itu memandangkan adiknya memang ke Pahang untuk berjumpa keluarga tunangnya.

"Muhammad Fikri bergerak dari sini sekitar 8 pagi hari pertama Aidiladha (Khamis) dengan menunggang motosikal Honda Wave. Sebelum itu, memang dia dah beritahu nak ke sana sambil beraya bersama bakal keluarga mentua.

"Sebelum bergerak ke sana (Pahang) adik baru pulih dari demam, namun tidak menunjukkan sebarang perubahan. Kami ada bertanya bila balik ke sini (Batu Pahat), dia beritahu sama ada Sabtu atau Ahad kerana Isnin sudah bekerja.

"Perasaan kami ketika itu tak dapat dibayangkan apatah lagi bila sepupu menunjukkan kad pengenalan milik adik. Nak kata tak percaya mustahil bila dia tunjuk memang kad pengenalan adik," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Kuda, Mukim 1, Lubuk Semerah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia sekeluarga berharap adiknya ditemui secepat mungkin dalam keadaan sempurna.

Sementara itu, Shahrizal berkata, dia bersama ahli kariah masjid Parit Kuda bergerak Terengganu petang tadi untuk membantu mencari adiknya yang dilaporkan masih belum ditemui.

"Kami sebagai waris perlu ke sana untuk membantu apa yang patut termasuk ujian DNA jika diperlukan. Kami masih menaruh harapan dan berharap ada keajaiban untuk adik.

"Keluarga di sini juga menunggu laporan semasa daripada pihak berkuasa di sana. Buat masa ini, tiada lagi berita yang kami peroleh mengenai adik," katanya.

Dalam tragedi itu, mereka sekeluarga dilaporkan berkelah sebelum dibawa arus kepala air di Kampung Air Putih. Sehingga petang ini, enam mayat sudah ditemui dan dikenal pasti.

Berita berkaitan:

Tragedi kepala air: 'Saya reda dengan apa yang berlaku'

Kepala air sangat kuat sehingga kesemua mangsa hanyut

Laporan awal akan siap dalam masa terdekat

Suami Kak Endut baru sebulan bekerja

SAR disambung pagi ini

Polis umum identiti 8 mangsa masih hilang

Operasi SAR dihenti lebih awal dikhuatiri kepala air berulang - Bomba

Mangsa lemas adalah ibu dan anak

Polis sedang kenal pasti keluarga mangsa tragedi kepala air

Dua ditemukan lemas, 8 masih hilang dalam tragedi kepala air

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 6:23 PM