GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan projek percubaan lorong bas bermula dari persimpangan Jalan Rhu sehingga ke persimpangan Jalan Tun Razak, di Jalan Ampang di sini, mulai 3 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yassin berkata, lorong bas itu akan membabitkan 34 bas dari dua laluan, iaitu laluan 300 dari Pandan Indah hingga Lebuh Ampang dan laluan 303, membabitkan laluan dari Taman Mulia Jaya hingga Lebuh Ampang.

Menurutnya, lorong bas itu yang akan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat dari 6 hingga 9 pagi, dijangka memberi manfaat kepada komuniti sekitar koridor Jalan Ampang yang ingin memasuki pusat bandar raya untuk bekerja.

"Dengan adanya lorong bas ini, perkhidmatan bas Rapid KL akan lebih lancar dan menjimatkan masa perjalanan sehingga 20 minit jika dibandingkan menggunakan kenderaan persendirian.

"Kami ingin menggalakkan komuniti di Ampang untuk mencuba kemudahan yang disediakan ini agar pengangkutan awam dapat menjadi mod perjalanan utama mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 10:39 AM