ANGGOTA bomba memadam bas yang terbakar di hadapan sebuah pusat membeli-belah di Jalan Ampang. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba memadam bas yang terbakar di hadapan sebuah pusat membeli-belah di Jalan Ampang. FOTO Ihsan JBPM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebuah bas Rapid KL yang membawa enam penumpang berdepan detik cemas apabila kenderaan itu terbakar di hadapan sebuah pusat membeli-belah di Jalan Ampang, di sini, hari ini.

Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dalam kenyataan memaklumkan bas laluan Taman Mulia Jaya menghala Lebuh Ampang itu terbakar pada 10.52 pagi.

"Kejadian disedari kapten bas yang melihat asap dari bahagian belakang bas sebelum memberhentikan kenderaan untuk menurunkan penumpang dan mengawal kebakaran daripada merebak menggunakan alat pemadam api.

"Kapten bas dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada kerosakan pada harta benda awam dilaporkan serta bas terbabit ditunda ke depoh pada 12.08 tengah hari tadi," menurut kenyataan itu.

Rapid Bus turut memohon maaf kepada penumpang yang terjejas akibat kejadian terbabit dan akan memberikan kerjasama dengan polis bagi menjalankan siasatan sepenuhnya bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat Mohd Fahbell Md Yasin berkata, seramai sembilan anggota digerakkan ke lokasi dan mendapati bahagian belakang bas terbabit terbakar 50 peratus.

"Kebakaran dipadam sepenuhnya pada 11.07 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 4:52 PM