Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Program Sepetang Perdana Menteri bersama Penggerak Madani Negeri Sembilan di Kem Wawasan Negara, Ulu Sepri hari ini. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Program Sepetang Perdana Menteri bersama Penggerak Madani Negeri Sembilan di Kem Wawasan Negara, Ulu Sepri hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil

Rembau: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan bahawa beliau memberikan arahan kepada agensi penguatkuasaan untuk menangkap individu tertentu atau mengeledah rumah mereka untuk diambil tindakan.

Perdana Menteri menegaskan beliau tidak bertindak sedemikian sebaliknya hanya memberikan arahan umum kepada agensi penguat kuasa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka.

Katanya, arahan itu diberikan kepada agensi terbabit semata-mata untuk selamatkan negara dengan memastikan kes membabitkan salah guna kuasa dan rasuah tidak berlaku lagi.

"Saya tidak bagi arahan tangkap orang A atau geledah rumah B. Saya bagi arahan umum, nak selamatkan negara mesti cari jerung besar sebagai suatu pengajaran supaya hal ini (salah guna kuasa dan rasuah) tidak berlaku lagi.

"Tidak selesai dengan menangkap sarjan dan mendakwa orang-orang kecil kerana ia tidak akan jadi pengajaran, ia hanya sebagai suatu sandiwara saja, tapi kalau kita tunjukkan kesungguhan, membetulkan tatakelola, saya percaya negara boleh diselamatkan," katanya.

Beliau berucap merasmikan Program Penggerak MADANI Negeri Sembilan (Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan) di Kem Wawasan Negara Ulu Sepri, di sini, lewat petang tadi.

Yang turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri serta pemimpin masyarakat.

Anwar berkata, kerajaan tidak akan mengizinkan kuasa dan pemerintahan sebagai kesempatan untuk memunggah kekayaan atau memperkayakan tokoh-tokoh tertentu.

"Harus dihentikan, ditamatkan atau dinokhtahkan sebagai suatu pengajaran bahawa yang berkuasa itu mesti pikul sebagai suatu amanah dan ukuran kejayaan perdana menteri atau menteri kewangan bukan berapa bilion yang digondolnya.

"Ini jelas, sepanjang setahun saya pimpin (Kerajaan Perpaduan), tidak pernah sekali (kalangan pimpinan) mempertikaikan.

"Apa yang LHDN putuskan, SPRM putuskan, apa pendakwaan yang peguam negara atas apa keputusan badan kehakiman putuskan, tidak pernah dipertikaikan dalam kalangan pimpinan," katanya.

Perdana Menteri menegaskan pimpinan dan pentadbiran negara perlu melaksanakan tatakelola yang baik dengan menolak sebarang bentuk rasuah.

"Tiada mana-mana negara yang boleh selamat jika amalan ini (rasuah) diteruskan, justeru kita perlu bermula dengan tatakelola yang baik dengan semangat menolak rasuah.

"Saya bersyukur kerana pimpinan parti-parti politik baik PH,UMNO-BN, GPS dan lain-lain sampai sekarang, tiada yang mempertikaikan (usaha ini)," katanya.

-tamat.

#kw, pm, anwar ibrahim, isu rasuah,gerakan madani, rembau.

From: Md Amin Jalil

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 9:36 PM