LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan seorang penuntut meninggal dunia dan dua jurulatih mengalami kecederaan ketika menjalani latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, hari ini.

Markas Tentera Udara dalam kenyataan berkata, insiden berkenaan membabitkan anggota TUDM yang sedang menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23 di tapak latihan kem terbabit.

"Kemalangan berlaku kira-kira 12.10 tengah hari mengakibatkan seorang penuntut meninggal dunia di tempat kejadian.

"Manakala dua jurulatih mengalami kecederaan diberikan rawatan awal di Hospital Tentera Darat Gemas dan telah dirujuk ke Hospital Segamat," katanya, malam ini.

Menurutnya, TUDM sudah menghubungi waris anggota TUDM yang terbabit dan menyerahkan kes kejadian kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan.

"Seterusnya, TUDM akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

"TUDM menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan dijalankan oleh pihak PDRM selesai dan menghormati sensitiviti keluarga anggota yang terbabi. Maklumat perkembangan insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan anggota TUDM maut manakala dua jurulatih parah selepas bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin.

Kejadian itu berlaku ketika mereka menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di tapak latihan kem terbabit.

Sumber berkata, bom lempar berkenaan meletup di dalam bunker ketika proses latihan dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 8:19 PM