GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Tampin: Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan akan melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut selepas bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kematian pelatih ketika Latihan Bom Grenade itu jam 12.45 tengah hari.

"Dalam kejadian ini seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua jurulatih mengalami kecederaan parah.

"Kedua-dua mangsa yang parah diberi rawatan awal di Hospital Tentera Darat Kem Syed Sirajuddin Gemas dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Segamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dengan bantuan daripada pasukan forensik IPK Negeri Sembilan yang turut berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan dan mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Setakat ini siasatan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang anggota TUDM maut dan dua jurulatih parah selepas bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 9:01 PM