DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Syaharim Abidin
DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Syaharim Abidin
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kerajaan negeri akan menyembahkan cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dibuat pada 28 Jun ini, bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak bersama negeri lain.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata beliau akan menyembah maklum ke atas Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Badlishah, bagi mendapatkan perkenan baginda pada 25 Jun ini, sebelum pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat.

Katanya, pemilihan tarikh 28 Jun sebagai cadangan pembubaran DUN Kedah dibuat bersempena hari Wukuf di Arafah bagi umat Islam yang menunaikan fardu haji, yang membawa maksud sebagai 'berhenti'.

"Bubar DUN saya kena dapat perkenan Tuanku dahulu, saya akan menghadap baginda pada 25 Jun.

"Saya cadang persembahkan kepada Tuanku cadangan pembubaran pada 28 Jun sempena hari Wukuf yang bermaksud berhenti.

"Itu cadangan sahaja, kalau Tuanku perkenan baharu saya akan umum secara rasmi.

"Kalau Tuanku tak perkenan kita boleh lanjut tarikh itu sampai tarikh matang DUN Kedah pada 4 Julai, jadi terserah kepada Tuanku," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir Majlis Penyerahan Khemah, Meja dan Kerusi Kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) Di Bawah Program Sejahtera Komuniti.

Hadir sama Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, selepas pembubaran DUN dibuat, terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 60 hari bagi menentukan tarikh penamaan calon, pengundian awal, undi pos dan hari pembuangan undi.

"Bagi calon Menteri Besar pula ia akan ditentukan Pusat. Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) akan cadangkan nama untuk dipersembahkan kepada Tuanku, jadi kita tengok siapa yang menang kerusi lagi banyak.

"Mengenai Datuk Seri Mukhriz Mahathir dikatakan mahu menjadi Menteri Besar, beliau juga sudah buat status tak akan kembali.

"Nak jadi Menteri Besar kena menang pilihan raya dulu. Kalau jadi calon awal, tapi tak menang bukan boleh dilantik jadi senator negeri," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan Kerajaan Kedah tidak berbuat apa-apa sepanjang tiga tahun pentadbiran di bawah PN, beliau menegaskan tuduhan itu dibuat orang politik yang buta mata dan pekak telinga.

Katanya, kerajaan negeri melakukan perkara termasuk berjaya menarik pelbagai pelaburan baharu sehingga menjadikan Kedah antara lokasi tarikan pelabur termasuk dari luar negara.

"Itu saya kata jangan jadi pekak dan buta, pandanglah dengan hati ikhlas dan berlapang dada untuk mengakui perkara yang baik.

"Yang bercakap pernah jadi kerajaan, apabila kita buat lebih sikit daripada mereka, biasalah orang politik yang tak ada hati perut kata macam-macam.

"Banyak kita buat, contoh Projek Kedah2035 kita rangka pelbagai inisiatif. Ketika Sidang DUN Kedah mereka kata saya tak terangkan, jadi saya jemput semua pembangkang ke taklimat khas Kedah2035.

"Tetapi yang datang seorang sahaja Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kundor)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 4:22 PM