Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah beramah mesra bersama Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Anak Bukit di sini, hari ini. FOTO M HIFZUDDIN IKHSAN
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah beramah mesra bersama Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Anak Bukit di sini, hari ini. FOTO M HIFZUDDIN IKHSAN
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Tuanku Sultan Kedah dan Keluarga Diraja di Balai Santapan Besar, Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Hadir sama ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah Zubir Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Seri Norizan Khazali dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Kemeriahan majlis sambutan Aidilfitri berkenaan dapat dirasai apabila dihadiri ramai pegawai pentadbiran negeri termasuk dua bekas Menteri Besar, Tan Sri Osman Aroff dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Turut bersama pada majlis itu, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) Farrah Naz Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin.

Pada majlis itu, semua tetamu berpeluang beramah mesra bersama Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha serta keluarga diraja lain sambil menikmati juadah khas Aidilfitri yang disediakan.

Selain menikmati hidangan yang disajikan, tetamu turut dihiburkan dendangan lagu Aidilfitri yang dinyanyikan secara langsung.

Turut diraikan adalah pegawai kanan yang berkhidmat di peringkat negeri dan Persekutuan selain pengamal media tempatan yang mewakili Kelab Media Elit Kedah (KMEK).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 3:21 PM