Seorang pekerja dobi terlibat kemalangan selepas cuba melarikan diri dari pemeriksaan polis. FOTO Ihsan PDRM
Seorang pekerja dobi terlibat kemalangan selepas cuba melarikan diri dari pemeriksaan polis. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Padah lari dari sekatan jalan raya, seorang pekerja kedai dobi ditahan selepas kereta dipandunya terbabas di sekitar Lebuhraya Penchala Link, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu jam 3.48 pagi.

"Suspek melarikan diri dipercayai kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan memiliki peralatan pecah rumah.

"Suspek yang memandu Proton Waja bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan lokasi di Persiaran Surian, Kota Damansara di sini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan kereta peronda polis (MPV) mengejar suspek sejauh kira-kira lapan ke 10 kilometer selama 20 minit sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan.

Katanya, pemeriksaan ke atas kereta berkenaan menemui peralatan dipercayai untuk pecah rumah.

"Ujian saringan air kencing terhadap suspek berusia 26 tahun didapati positif dadah jenis syabu.

"Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan(menghalang penjawat awam) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03 79662222.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 10:20 PM