MUHAMMAD Aris (atas kiri) sedang diburu dan barangan yang dicuri suspek. FOTO Ihsan Polis.
MUHAMMAD Aris (atas kiri) sedang diburu dan barangan yang dicuri suspek. FOTO Ihsan Polis.
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Kegiatan mencuri yang aktif dilakukan dua sahabat di sekitar daerah ini tumpas susulan penahanan seorang daripada suspek Rabu lalu.

Kedua-dua lelaki berusia 25 dan 31 tahun itu dikatakan bersama-sama melakukan jenayah berkenaan dengan mensasarkan premis perniagaan dan kenderaan mewah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis menjalankan siasatan selepas menerima laporan kejadian pecah masuk sebuah premis perniagaan di Kelana Jaya di sini, pada 8 Mei lalu.

Menurutnya, pengurus berusia 33 tahun menyedari kejadian pada 9.30 pagi selepas melihat pintu masuk dirosakkan dan keadaan pejabat berselerak serta mendapati barangan berharga termasuk sebuah kenderaan hilang disyaki dicuri.

"Bertindak atas laporan dan siasatan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bersama IPD Gombak melakukan serbuan jam 12.30 tengah hari Rabu lalu dan menahan seorang suspek di Batu Caves.

"Hasil soal siasat membawa kepada serbuan di beberapa kediaman di sekitar Batu Caves dan menemui pelbagai barangan disyaki curi oleh suspek bersama rakannya.

"Antara barang yang dirampas adalah dua kereta Mercedes Benz dan Range Rover, motosikal Yamaha 135LC, lima telefon bimbit serta peralatan yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, suspek yang ditahan itu mengaku terbabit dalam beberapa kes pecah masuk premis dan curi kenderaan di kawasan Kelana Jaya.

Beliau berkata, semakan juga mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau selain melarikan diri daripada pengawasan mengikut Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) di Dungun, Terengganu.

"Suspek direman empat hari mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan seorang lagi suspek sedang giat dijalankan.

"Suspek yang masih bebas adalah Muhammad Aris Alinudin atau dikenali Aris beralamat terakhir di Gombak. Suspek mempunyai 20 rekod jenayah lampau termasuk dadah," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek menghubungi IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 5:34 PM