GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


DUA adik-beradik dikesan terbabit dalam kegiatan pecah cermin kereta di Petaling Jaya sejak tiga bulan lalu.

Kegiatan mereka terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun di Jalan PJU 8/3A, Damansara Perdana, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil soal siasat awal suspek mengaku melakukan kegiatan jenayah itu bersama adiknya yang masih bebas.

"Polis merampas pelbagai barang hasil dari kegiatan jenayah antaranya telefon pintar, sarung tangan, motosikal dan jaket lengan panjang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, hasil semakan, suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

"Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Nik Ezanee berkata, pihaknya menahan seorang remaja berusia 18 tahun kerana terbabit dalam kes pecah rumah.

"Suspek ditahan di Dataran Merdeka pada jam 1.30 pagi tadi dan polis merampas dua telefon pintar.

"Siasatan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes curi kenderaan dan gaduh.

"Remaja itu ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 7:00 PM