Antara barangan yang dirampas polis daripada dua suspek pecah pejabat dan kedai serbaneka di Petaling Jaya. Foto Ihsan PDRM
Antara barangan yang dirampas polis daripada dua suspek pecah pejabat dan kedai serbaneka di Petaling Jaya. Foto Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian pecah pejabat dan kedai serbaneka di daerah ini ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, penanahan suspek berusia 28 dan 33 tahun itu susulan kejadian pecah pejabat di kawasan Ara Damansara pada 6.45 pagi, 27 November lalu.

Menurutnya, barangan di dalam pejabat seperti komputer riba, alat pengukur dan kamera antara yang dicuri.

"Berdasarkan maklumat risikan yang diperolehi, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuat satu serbuan di sebuah Flat Lembah Subang di sini, dan menahan mereka pada 6.15 petang semalam.

"Polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah pejabat itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kegiatan pecah pejabat di kawasan Ara Damansara serta mengaku terbabit dengan jenayah curi di kedai serbaneka, Mutiara Tropicana di sini.

"Semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod dalam kes jenayah dan dadah.

"Suspek direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, barang yang dirampas termasuklah dua komputer riba, dua cakera keras dan sebuah kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 5:17 PM