Mandy Lai - FOTO Ihsan FB Istana Negara
Mandy Lai - FOTO Ihsan FB Istana Negara
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada Mandy Lai, pelajar yang dianugerahkan International Subject Orders of Merit, First Place dan Watts Prize for Audit and Assurance – Professional Levelbagi siri peperiksaan Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) pada Mac.

Turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pelajar SUNWAY TES Centre of Accountancy itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menurut catatan Facebook Istana Negara hari ini.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pencapaian Mandy Lai mendapat keputusan cemerlang bagi siri peperiksaan tersebut, sekali gus meraih anugerah berprestij itu dan mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Ia juga sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu-individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

"Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar pencapaian cemerlang beliau menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan belia, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan cemerlang di dalam bidang masing-masing," menurut catatan itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Mandy Lai dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Terdahulu, Mandy Lai dianugerahkan Tempat Pertama bagi ICAEW Certificate Level Annual Order of Merit 2022, World Prize untuk Principles of Taxation bagi bulan Jun 2022 dan World Prize untuk Financial Accounting and Reporting bagi siri peperiksaan Disember 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 6:39 PM