BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Cheryl Chow Shu Wei atas kejayaannya dinobatkan 'Top In The World' bagi mata pelajaran kimia peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), baru-baru ini.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang pelajar Sekolah Antarabangsa Beaconhouse Sri Inai, Petaling Jaya itu yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan harapan semoga kejayaan Chow, 17, menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat khususnya golongan pelajar dan belia untuk terus bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan cemerlang di dalam bidang masing-masing.

"Sesungguhnya, kejayaan adik Cheryl Chow Shu Wei sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan pelajar dan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

"Ia juga membuktikan dengan iltizam dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di persada antarabangsa," menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara menerusi Facebook hari ini.

Seri Paduka Baginda juga menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Chow dan turut mendoakannya dilimpahi kejayaan cemerlang dan terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa di masa hadapan.

Chow memperoleh pengiktirafan daripada Cambridge Assessment International Education setelah berjaya mengetepikan hampir sejuta pelajar lain dari seluruh dunia semasa acara Outstanding Cambridge Learner Awards, baru-baru ini.

Beliau memperoleh markah piawaian tertinggi dalam peperiksaan IGCSE bagi mata pelajaran Kimia.

Pelajar itu juga pernah dinobatkan sebagai peserta terbaik di acara Mangahigh East Asia Maths Challenge 2019, mengatasi 14,240 pelajar dari Jepun, Korea Selatan, Singapura dan negara sekitar Asia Timur.

Remaja berkenaan juga pernah memperoleh pingat emas bagi acara Kangaroo Math Competition peringkat kebangsaan dan pertandingan University of St Andrews Competition pada 2019 selain turut dianugerahkan pingat emas di dalam Queen's Commonwealth Essay Competition bagi dua tahun berturut iaitu pada 2019 dan 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 2:06 PM