BEBERAPA motosikal berkuasa tinggi didakwa diletakkan tempat peniaga hingga berlaku perselisihan. FOTO Tular
BEBERAPA motosikal berkuasa tinggi didakwa diletakkan tempat peniaga hingga berlaku perselisihan. FOTO Tular
Alias Abd Rani


Muar: Tindakan sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi meletakkan kenderaan di kaki lima kedai di Jalan Majidi, di sini dipercayai punca berlaku perang mulut dan provokasi antara mereka dengan peniaga hingga tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata pihaknya mengesan tiga video yang dimuatnaik seorang individu memaparkan kejadian penunggang motosikal besar membuat provokasi.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada 10.15 pagi semalam.

"Polis dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ke lokasi kejadian dan berjaya meleraikan pertelingkahan.

"Mereka turut diminta mengalihkan kenderaan di parkir di kaki lima selain mengeluarkan tiga saman atas kesalahan menghalang pemilik kenderaan itu," katanya ketika dihubungi.

Raiz Mukhliz berkata, polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 6:31 PM