Remaja perempuan berjaya diselamatkan selepas cuba terjun dari Jambatan Sultan Ismail, Muar. FOTO IHSAN PEMBACA
Remaja perempuan berjaya diselamatkan selepas cuba terjun dari Jambatan Sultan Ismail, Muar. FOTO IHSAN PEMBACA
Ali Iqbal


Muar: Perselisihan faham dengan ibu menyebabkan seorang remaja perempuan cuba terjun ke Sungai Muar dari atas Jambatan Sultan Ismail di sini, semalam tetapi berjaya dihalang dan diselamatkan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner, Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.20 pagi mengenai tindakan remaja perempuan berusia 19 tahun itu.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu, pihaknya tiba di lokasi kejadian dan didapati remaja itu diselamatkan orang awam yang melalui jambatan itu.

"Hasil siasatan serta keterangan daripada ahli keluarganya mendapati, berlaku perselisihan dengan ibunya.

"Pada masa sama, mangsa pernah mendapat rawatan disebabkan kemurungan di sebuah klinik kesihatan dan diminta merujuk ke Hospital Muar, namun mangsa tidak meneruskan (rawatan itu)," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Raiz Mukhliz berkata, mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan kini dirujuk ke Unit Psikiatrik Hospital Muar bagi rawatan serta siasatan lanjut.

"Polis menasihati individu mengalami masalah kemurungan untuk menghubungi befrienders atau melayari www.befrienders.org.my.

"Pemantauan ahli keluarga amat penting dalam memastikan pergerakkan individu mengalami masalah psikiatrik dalam memastikan keselamatannya terjaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 4:42 PM