Replika kapal Mendam Berahi. FOTO arkib NSTP
Replika kapal Mendam Berahi. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Melaka: Kerajaan Melaka berharap Kementerian Perpaduan Negara mempertimbangkan untuk membina dan menempatkan replika Kapal Mendam Berahi di negeri itu menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata, kapal berkenaan yang dipercayai wujud pada zaman Kesultanan Melayu Melaka merupakan tinggalan sejarah yang perlu diwarisi kepada generasi muda sekali gus boleh dijadikan satu daripada produk pelancongan di negeri itu.

"Seperti yang disebutkan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dalam ucapan ketika lafaz perasmian tadi, beliau berharap satu replika Kapal Mendam Berahi dapat dibina di Klebang pada tahun hadapan.

"Kapal Mendam Berahi menunjukkan kehebatan dan kegemilangan bukan sahaja Kesultanan Melayu Melaka tetapi juga masyarakat Melayu pada zaman dahulu yang berupaya membina kapal gergasi yang amat digeruni pihak lawan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar 'Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos?' oleh Mohd Ali, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Noridah Abdul Rahim.

Beliau berkata, selain itu, Kapal Diraja (KD) Hang Tuah milik Tentera Diraja Laut Malaysia (TLDM) yang kini dijadikan muzium di Lumut, Perak dijangka turut dibawa ke Melaka sempena TMM 2024 dan akan ditempatkan di Klebang.

Dalam perkembangan lain, Zaidi berkata, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) sedang merangka dan meneliti penggunaan pas masuk yang membolehkan pelancong melawat ke semua muzium di bawah kendalian Perzim pada satu bayaran yang ditetapkan.

"Inisiatif ini untuk menggalakkan pelancong melawat ke lebih 20 muzium di bawah Perzim yang mempunyai pelbagai daya tarikan dan tinggalan sejarah yang boleh dihayati dan melihat secara dekat aset atau warisan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 3:08 PM