LAPORAN infografik Metro Ahad bertarikh 6 September 2015 mengenai kapal Mendam Berahi.
LAPORAN infografik Metro Ahad bertarikh 6 September 2015 mengenai kapal Mendam Berahi.
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Kapal digeruni armada musuh pada zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu Mendam Berahi akan dibina semula sepasukan pengkaji sejarah dalam masa terdekat bagi memperlihatkan kepada masyarakat keagungan tamadun Melaka suatu ketika dulu.

Penyelidik Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu (PKKM) Universiti Malaya (UM) Prof Emeritus Dr Hashim Musa berkata, kewujudan kapal itu menjadi bukti kukuh empayar Melaka memiliki kepakaran dalam bidang perkapalan.

“Ia bersesuaian dengan nama jolokan kerajaan Melaka iaitu empayar maritim terhebat di Nusantara. Kapal itu digunakan Laksamana Hang Tuah untuk mengembara ke serata dunia.

“Gambaran kasar berhubung reka bentuk kapal terbabit sudah ada hasil kajian sebelum ini dan Mendam Berahi adalah kapal jenis Ghali yang besar,” katanya di Akademi Pengajian Melayu, UM di sini, semalam.

Hashim berkata, bukti sejarah menunjukkan bahawa kapal Ghali lebih besar berbanding kapal Portugis Flor De La Mar.

“Kapal berkenaan menjadi lambang kehebatan dan kebijaksanaan masyarakat Melayu dahulu, malah teknologinya setanding kapal milik Portugis sebagaimana diceritakan dalam Buku Hikayat Hang Tuah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 11:10 AM