Zuhainy Zulkiffli

Bayan Lepas: "Alhamdulillah rasa bersemangat dan tidak sabar kerana terpilih menjadi tetamu Allah (swt) selain mahu segera bertemu isteri yang berangkat ke sana, dua minggu lalu.

Begitu kata Mohamad Othaman, 68, peladang sawit dari Jawi, yang berpeluang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci bagi tahun ini.

Katanya, sejak isterinya Che Lian Osman, 65, berangkat menunaikan haji pada 4 Jun lalu, dia masih menunggu khabar insan tersayang itu menerusi panggilan telefon.

"Saya yakin keadaan Che Lian baik-baik saja dan Insya-Allah saya akan bertemu dengannya di sana nanti.

"Saya ke Makkah menggunakan wang simpanan hasil mengerjakan ladang sawit yang dikumpul sejak 2008 dan secara keseluruhannya urusan jemaah yang dilakukan pihak Tabung Haji, sangat lancar serta pantas, " katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, hari ini.

MOHAMAD Othaman (dua kiri) mengaminkan doa ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji. FOTO Zuhainy Zulkiffli
MOHAMAD Othaman (dua kiri) mengaminkan doa ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Sementara itu jemaah dari Alor Setar, Sobehah Bakar, 65, berkata, dia sudah beberapa bulan melakukan senaman ringan dengan berjalan kaki di sekitar rumah sebagai persediaan sekiranya menerima panggilan haji.

Biarpun diuji dengan beberapa masalah kesihatan, dia tetap bersemangat dengan mengajak suami, Zulkiffli Omar, 70, membersihkan laman rumah setiap pagi sebagai senaman.

"Allah SWT makbulkan juga doa dan saya terlebih dulu menerima panggilan (haji) disusuli suami, tidak lama kemudian selepas mengemukakan rayuan.

"Kami pernah menunaikan umrah pada 2016 dan panggilan pertama bagi menunaikan haji ialah pada 2021 lalu yang ditangguh ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saat pandemik Covid-19 melanda dunia.

" Sejak itu kami hanya mampu berdoa supaya dapat menjejak kaki ke sana," katanya di sini.

Terdahulu, kumpulan jemaah berkenaan turut diraikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan hadir sama ialah Pengarah Tabung Haji merangkap Pengarah Operasi Stesen Berlepas Bayan Lepas, Maznizan Mamat.

Maznizan berkata, sejak 3 Jun sehingga semalam, seramai 1,542 jemaah dari sekitar negeri utara tanah air sudah berangkat menunaikan haji.

"Seramai 142 jemaah menaiki penerbangan Malaysian Airlines Berhad (Malaysia Airlines) MH8443 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada jam 11.55 pagi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ke Jeddah.

"Bagi di negeri utara tanah air, ia adalah penerbangan terakhir yang berlepas menerusi 'stesen' Bayan Lepas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 8:33 PM