Norliah (kiri) dibantu anak  Nur Suhaidah memakaikan gelang pengenalan sambil diperhati Sulaiman  (kanan).
Norliah (kiri) dibantu anak Nur Suhaidah memakaikan gelang pengenalan sambil diperhati Sulaiman (kanan).
Siti Fatimah Nasir


Kelana Jaya: “Dijemput menjadi tetamu Allah untuk menunaikan ibadat haji tahun ini adalah satu anugerah terindah yang tidak akan saya lupakan,” kata pesara syarikat swasta, Sulaiman Jazuli, 61.

Dia antara 400 jemaah haji dari Mersing, Johor yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah pada jam 2.48 pagi semalam.

Sulaiman berkata, dia berasa bersyukur kerana dapat menunaikan Rukun Islam kelima bersama isterinya, Norliah Ghazali, 59, selepas tujuh tahun menanti panggilan haji.

“Penantian selama tujuh tahun berakhir apabila impian menjadi tetamu Allah dimakbulkan pada tahun ini dan tiada ungkapan dapat digambarkan selain rasa syukur yang tidak terhingga.

“Doa dan solat hajat yang saya lakukan setiap hari bagi memohon kepada Allah agar diberi peluang untuk ke Tanah Suci bersama isteri akhirnya termakbul walaupun sudah lanjut usia,” katanya yang mempunyai lapan anak itu.

Sementara itu, isterinya, Norliah Ghazali berkata, setiap tahun suaminya akan menabung sekurang-kurangnya RM200 sebulan ke dalam akaun Tabung Haji bagi membolehkannya pergi haji bersama memandangkan tidak mempunyai pendapatan dan hanya bergantung kepada suami.

“Sebelum pergi menunaikan ibadat haji, suami sudah merancang setiap tabungannya mencukupi bagi membolehkan saya menunaikan Rukun Islam kelima ini bersamanya.

“Alhamdulillah, tabungan wang yang dikumpul suami akhirnya membuahkan hasil apabila mendapat tawaran menunaikan haji tercapai tanpa sebarang masalah,” katanya.

Suri rumah itu berkata, dia dan suami memanjatkan rasa syukur sebaik menerima panggilan haji pada Julai lalu.

“Sebaik menerima panggilan haji ini, saya dan suami melakukan sujud syukur kerana penantian selama tujuh tahun akhirnya tercapai jua memandangkan usia kami pun sudah lanjut.

“Sepanjang berada di Tanah Suci nanti, saya akan mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari semasa menghadiri kursus haji bagi membolehkan saya menyempurnakan ibadat dengan sempurna dan mendapat haji mabrur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 5:56 AM