Sultan Selangor dan Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin bakal menunaikan ibadah haji tahun ini. FOTO Bernama
Sultan Selangor dan Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin bakal menunaikan ibadah haji tahun ini. FOTO Bernama
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Semua jemaah haji Malaysia terutamanya dari Selangor perlu mengekalkan disiplin serta patuh peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi sepanjang berada di Tanah Suci.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, bakal jemaah haji turut disarankan berbincang secara baik dengan pegawai Lembaga Tabung Haji (TH) jika ada sebarang kekurangan atau masalah.

Titah baginda, bakal jemaah diingatkan tidak mudah menyebarkan berita yang tidak tepat di media sosial kerana ia hanya merumitkan keadaan dan tidak akan menyelesaikan masalah.

"Kita harus bersyukur dengan adanya sebuah perbadanan seperti Tabung Haji yang menjaga kebajikan jemaah haji negara. Oleh itu, sekiranya ada sebarang kekurangan atau masalah dengan Tabung Haji, berbincanglah secara baik dengan pegawai-pegawai Tabung Haji.

"Beta mengucapkan syabas kepada Tabung Haji atas kesungguhan dalam memastikan kebajikan jemaah haji negara sentiasa terpelihara," titah baginda ketika Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji peringkat Selangor anjuran Lembaga Tabung Haji dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, tadi.

Turut berkenan berangkat mengiringi baginda adalah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Sementara itu, dalam titah, Sultan Selangor turut berharap bakal jemaah akan menumpukan perhatian kepada ibadah di Tanah Suci serta bersabar atas segala kepayahan dan dugaan yang mungkin akan dilalui terutama ketika berada di padang Arafah, Muzdalifah dan Mina.

"Sentiasalah berhubung dengan petugas-petugas haji dan mengikuti segala arahan-arahan yang dibuat oleh pihak Lembaga Tabung Haji.

"Haji adalah satu perjalanan yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan tentang ibadat haji yang jelas justeru beta ingin menasihati tuan-tuan dan puan-puan untuk mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya.

"Sepanjang berada di Tanah Suci, bersihkan niat dan gunakanlah sepenuh masa serta tenaga untuk melaksanakan amal ibadah agar beroleh haji yang mabrur," titah baginda.

Sultan Selangor juga menasihatkan agar bakal jemaah haji untuk menjaga kesihatan bermula dari sekarang.

Dalam pada itu, Sultan Selangor memohon doa dari semua rakyat agar baginda dan Tengku Permaisuri Selangor diberi kesihatan yang baik dan dapat menunaikan ibadat haji dengan sempurna seterusnya mendapat pahala haji yang mabrur.

"InsyaAllah, beta juga akan menunaikan fardhu haji tahun ini walaupun beta sudah menunaikan haji pada tahun 2002.

"Pada kali ini beta akan membawa bersama isteri beta, Tengku Permaisuri Selangor untuk menunaikan haji," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 1:34 PM