BERNAMA

Kuala Terengganu: Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu akan dibubarkan esok (28 Jun) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara itu diputuskan setelah persembahan tarikh cadangan pembubaran DUN diperkenan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Terdahulu, Ahmad Samsuri menghadap Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah di sini, kira-kira 9 pagi hari ini.

Ahmad Samsuri menerusi catatan di Facebook beliau berkata menurut Fasal 44 (2) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) memperuntukkan bahawa Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku boleh memberhenti atau membubarkan DUN.

"Oleh yang demikian, Sultan Mizan dalam menjalankan kuasa yang diberikan di bawah Fasal 44 (2) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) telah mengampuni perkenan untuk membubarkan DUN pada Rabu, 09 Zulhijjah bersamaan 28 Jun 2023," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 2018, PAS mengambil alih pentadbiran kerajaan Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) selepas memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala BN hanya memperoleh 10 kerusi.

Tempoh mandat bagi DUN Terengganu akan berakhir pada 30 Jun ini.

Terengganu antara enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini selain Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

DUN Kelantan dibubarkan pada 22 Jun manakala DUN Selangor sehari selepas itu.

Selain Terengganu, DUN Kedah dan Pulau Pinang juga masing-masing akan dibubarkan esok manakala DUN Negeri Sembilan dijangka dibubarkan pada 30 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 6:20 PM
AHMAD Samsuri melambai tangan  selepas selesai menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi mendapat perkenan membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN di Istana Syarqiyyah, Chendering hari ini. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri melambai tangan selepas selesai menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi mendapat perkenan membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN di Istana Syarqiyyah, Chendering hari ini. FOTO Ghazali Kori