BERNAMA

Seremban: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubarkan Sabtu ini (1 Julai), bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata tarikh itu dicadangkan dan mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

"Pada pagi ini saya mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk menandatangani watikah membubarkan DUN Negeri Sembilan bagi memberi ruang PRN diadakan.

"Alhamdulillah, tarikh pembubaran 1 Julai ini," katanya kepada pemberita di Wisma Negeri di sini hari ini.

Terdahulu, Aminuddin tiba di Istana Hinggap di sini, pada 10 pagi untuk menghadap Tuanku Muhriz bagi memohon perkenan baginda tarikh pembubaran DUN.

Beliau berkata pembubaran tersebut selaras dengan kuasa diperuntukkan di bawah Ceraian (2) Fasal 56, bahagian Yang Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Aminuddin berkata beliau telah memohon pejabat Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan supaya dapat menyegerakan pemakluman rasmi tarikh pembubaran DUN ke-14 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memberi ruang PRN diadakan serentak dengan lima DUN negeri yang lain.

Sementara itu, beliau berkata pentadbiran kerajaan negeri akan berfungsi sebagai kerajaan interim yang beroperasi seperti biasa bagi memastikan sistem perkhidmatan kerajaan kekal efisien.

Negeri Sembilan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN pada tahun ini selain Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

Persidangan DUN Negeri Sembilan yang pertama adalah pada 2 Julai 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 dan mandat lima tahun berakhir pada 1 Julai ini.

Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN yang menyaksikan PH dipimpin Aminuddin menguasai 20 kerusi (DAP-11, PKR-enam, Amanah-tiga), manakala Barisan Nasional (BN) 16 kerusi (UMNO-15 dan MIC-satu).

Aminuddin Harun menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Hinggap bagi perkenan pembubaran DUN negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM
Aminuddin Harun menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Hinggap bagi perkenan pembubaran DUN negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 11:43 AM